Sunday 24 April 2011

Bersahabat dan menjadi contoh kepada anak-anak

بسم الله الرحمن الرحيم


Tajuk yang kecil dan comel tetapi besar dan berat timbangannya jika ingin dipraktikkan. Malahan, untuk menulis mengenai tajuk ini juga berasa berat kerana masih ada kekurangan dalam mempraktikkan amalan daripada tajuk di atas.

Bersahabat dengan anak-anak, besar kelompok maksudnya. Anak-anak itu besar kelompok dan kumpulannya bermaksud, bukan setakat anak-anak kita di rumah sahaja, namun merangkumi seperti anak-anak jiran, anak-anak saudara, anak-anak kawan/sahabat/rakan sekerja, anak-anak didik dan ramai lagi anak-anak yang kita pernah jumpa dan mereka mengenali kita. Susah ke nak faham? 

Senang saja,  cari maksud sahabat di http://prpm.dbp.gov.my/Default.aspx.

Kemudian, cuba fikir kenapakah di zaman Rasulullah SAW dahulu, orang yang rapat dan kenal malahan yang pernah hidup sezaman dengan Baginda, disebut dan dipanggil SAHABAT?

Ini kerana, sahabat itu besar maksud istilahnya dan panjang lebar huraiannya. Antara ringkasannya ialah, sahabat ialah kenalan kita yang  boleh  menjadi rapat dan yang akan dipengaruhi serta mempengaruhi diri kita secara sedar ataupun tidak. Jika tidak percaya, cuba lihat "sahabat" di sekeliling anda sekarang. Siapa mereka? Malahan ada sahabat yang baru 1 jam kita kenali mereka tetapi seolah-olah sudah lama kita kenal dan rapat dengan mereka, malahan lebih rapat hubungan persahabatan itu dengan perhubungan saudara sedarah kita sendiri. Betul ke? Kalau salah tolong betulkan yer..

Jadi, bersahabatlah dengan anak-anak.. kerana mereka lah orang yang rapat, dekat serta  mengenali kita, malah anak-anak itulah penyambung warisan, adat, rupa paras, perangai, buah fikiran dan amanah kita di dunia dan akhirat. Walaubagaimanapun, jika kita ingin "bersahabat dengan anak-anak" ini dengan lebih baik adalah dengan melihat contoh kita yang paling 'perfect', iaitu Rasulullah SAW sendiri.

Ada banyak contoh bagaimana Rasulullah SAW bersahabat dengan anak-anak ini. Baginda selalu menemani anak-anak saudaranya, anak-anak sepupunya, anak-anak kecil seperti semasa Ibnu Abbas RA* dan Anas RA** masih "anak-anak". Malahan, Rasulullah tidak pernah segan silu dan pula tidak pernah berbangga atas hubungan persahabatan Rasulullah dengan anak-anak ini. 

Tambahan pula, bersahabat dengan anak-anak ini adalah hak anak-anak ini untuk belajar secara terus dan tidak langsung di dalam meniti kehidupan perkembangan  menjadi seorang "dewasa". Sebab itulah, dahulu jika kita masih di zaman "anak-anak" kita berhak untuk memilih secara "rahsia", siapa yang kita sering jadikan ikutan atau bahasa Jawanya; "hero" atau "heroin" dalam hidup kita. Sehinggalah adanya klise² seperti..
"Daddy, you're my hero in my life" 
"Mommy, you're the Queen of my heart"
"Brother, you are so brave and you are my idol" ...  dan banyak lagi.

Anak-anak yang seperti kanvas    -Gambar hiasan


Bahkan juga, banyak cerita anak-anak yang membina perwatakan Rasulullah SAW sendiri, dari zaman Rasulullah kecil sehingga Baginda dewasa..
 
Anas bin Malik pernah meriwayatkan peristiwa, di mana Rasulullah (semasa anak-anak) bermain bersama anak² yang lain, kemudian datang Jibril AS, membaringkan dan membelah dada Rasulullah (untuk proses penyucian hati). 

Abu Ya'la (musnad #2191, sanad sahih) daripada Abu Juhaifah RA (semasa beliau masih anak-anak) "Saya datang bersama rombongan Bani 'Amir bin Sha'sha'ah di Abthah, Rasulullah menyambut dengan berkata, "Selamat datang, kalian adalah sebahagian daripadaku", sejurus kemudian keluar Bilal lalu malaungkan azan untuk solat, kemudian terus Rasulullah SAW berdiri di hadapan saya dengan menancap tongkatnya dan bersiap untuk mengimamkan solat itu"


Rasulullah SAW pernah melihat kumpulan anak² bermain dengan semangat dan beriya-iya bersama² mereka Rasulullah memberi kata² semangat, malahan terus melihat dan mengawasi mereka bermain.

Imam Ahmad bin Hanbal meriwayatkan, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah bersabda: "Barangsiapa yang mengatakan kepada anaknya, "Kemarilah, aku beri sesuatu", tetapi tidak memberikan apa-apa, maka jadilah orang yang berdusta". (نعوذ بلله)

Abu Daud meriwayatkan daripada Abdullah bin Amir, katanya "Suatu hari ibuku memanggilku, sedang Rasulullah SAW sedang mengunjungi dan duduk di tengah rumah kami. ibuku memanggilku "Kemarilah, aku akan memberi kamu sesuatu". Rasulullah SAW bertanya ibuku, "Apa kamu berikan kepadanya?", ibuku menjawab, "Aku akan berikan dia kurma", lalu Rasulullah SAW bersabda "Demi Allah, jika kamu tidak berikan apa-apa kepada anak kamu  maka akan dicatat kamu sebagai pembohong".


Sahabat-sahabat Rsulullah SAW seperti Umar Ibnu Al Khattab selalu menemani anaknya berjalan², ada masa Umar juga menemani Ibnu Abbas, Zubair biasa menemani anaknya semasa perang sehingga sampai waktu anaknya menyertai perang dan menjadi kuat dan hebat, Rasulullah SAW sendiri sudah biasa bergaul dengan anak-anak dan bermain bersama mereka.





Maka, dengan "Bersahabat dengan anak-anak"..secara tidak langsung akan "menjadi contoh kepada anak-anak.."





Oleh yang demikian, jika kita menjadi orang tua (Ibu Bapa atau Penjaga & Pendidik) kepada anak-anak ini, kita hendaklah:
a) Sentiasa berserdia untuk meluangkan masa bersama anak-anak
b) Sentiasa menyediakan masa untuk bersama dengan anak-anak
c) Pandai memilih kawan² yang baik dan soleh untuk anak² (contohnya kita hantar anak-anak ke Pusat Asuhan Anak² yang soleh, bukannya hantar anak² ke tadika yang glammer saja lebih..)
d) Sering ajak membuat perkara yang baik (contoh ajak solat, bukan paksa solat)
e) Selalu ajar anak-anak supaya tidak membuat perkara² yang negatif (contoh jika anak² nak makan kena baca doa makan, tapi mak & ayah makan tidak pernah ucap dan baca Bismillah pun..)

Ringkasnya bahawa menjadi rapat dengan anak-anak adalah satu tuntutan yang 'natural' di dalam perkembangan anak-anak kita membesar menjadi seseorang yang lebih matang dalam segala hal. Secara tidak langsung kita menjadi 'bahan rujukan' anak-anak dalam proses tumbesaran mereka. Jika tiada perubahan-perubahan kendiri untuk kebaikan dalam hidup kita (sebagai ibu bapa atau penjaga), besar kemungkinan tiada 'kelainan' atau perubahan yang positif selama mana kita menjadi ibu bapa atau penjaga kepada anak-anak ini. Misalannya, hanya sekali anak-anak melihat dan mendengar ayah mereka bercakap kasar semasa bertelefon, sekali itulah mereka belajar bercakap kasar (dan mungkin memaki hamun). Contohnya, hanya sekali anak-anak ini melihat ibu mereka tidak memperdulikan kata-kata ayah mereka, sekali itulah mereka mengetahui bahawa tidak mengikut kata seorang ayah (ketua keluarga) tidak menjadi apa-apa keburukan (secara zahirnya).. والله أعلم بالصواب 



* Ibnu Abbas, ialah ; Abdullah bin Abbas bin Abdul Muttalib Al-Hasyimi Al-Makki, iaitu sepupu Rasulullah s.a.w. Ibunya, ialah Lubabah binti Al-Harith Al-Hilaliyyah. Beliau digelar “orang yang paling disukai”, “lautan” kerana mempunyai ilmu yang banyak dan Rasulullah s.a.w telah mendoakan kepada beliau agar dikurniakan kebijaksanaan dan ditahnik dengan air liur baginda ketika dilahirkan di Mekah pada tahun ke-3 sebelum Hijrah. Beliau telah meriwayatkan 1,660 buah hadis dan ketika Rasulullah s.a.w wafat, beliau berumur 13 tahun. Beliau telah meninggal di Thaif pada tahun 68 Hijrah dan telah disembahayangkan oleh Muhammad bin Al-Hanafiah, beliau berkata ; “Telah hilang seorang rabbani zaman ini”. Maimun bin Mahran pula berkata: “Ketika Ibnu Abbas r.a diletak untuk disembahyangkan telah datang burung putih di atas kafan beliau, dan apabila mayat ditanam burung tersebut pun hilang. Ketika tanah diratakan terdengar satu suara ; “Wahai jiwa-jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan yang diredhai, mak jadilah hamba yang sebenar-benarnya dan masuklah ke dalam syurgaku.”

** Anas, ialah ; Anas bin Malik bin Nadhar bin Dhamdham Al-Ansari Al-Khazraji, merupakan pembantu Rasulullah s.a.w. Ibunya bernama Ummu Sulaim binti Malhan, pernah berkhidmat dengan Rasulullah s.a.w selama 10 tahun. Beliau telah meriwayatkan 2,286 buah hadis. Beliau telah dikurniakan zuriat yang ramai bersesuaian dengan doa Rasulullah s.a.w : “ Ya Allah, Limpahkanlah rezeki dan zuriat kepada Anas bin Malik”. Ulama’ telah bersepakat yang beliau meninggal ketika berumur 100 tahun, iaitu pada tahun 93 hijrah di luar dari Basrah dan disemadikan di Qasra Anas.

3 comments:

  1. Ate like..foto bujang senang yang sedang tolis2 tu.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Permulaan yang baik...penulisan yang menarik...tapi panjang sangat adikku...3 kali ahkak sambung baca dik...tak kesian kat akak ke? kudrat pun dah tak kuat...

    ReplyDelete